|
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng meminta semua perwakilan parti itu tidak menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua MCA pada Sabtu ini.
Beliau berkata, ini kerana EGM kedua itu adalah bercanggah dengan perlembagaan parti dan tidak sah di sisi undang-undang.
Katanya, notis pemberitahuan melarang lebih 2,300 perwakilan menghadiri mesyuarat itu telah diedarkan semalam.
''EGM kedua tidak patut diadakan kerana ia bercanggah dengan perlembagaan parti,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri taklimat tertutup bersama pasukan khas membincangkan kaedah pemilihan baru MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Sebelum ini, kumpulan 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA mengesa diadakan EGM kedua pada 28 November ini untuk membolehkan perwakilan pusat memilih pucuk pimpinan baru.
Kumpulan itu yang diketuai oleh ahli CC MCA, Wong Nai Chee berkeras mahu mengadakan mesyuarat tersebut bagi mengembalikan kredibiliti parti yang tercemar akibat permainan politik kotor oleh beberapa pemimpin MCA.
Menurut Nai Chee, perkara paling mulia yang harus dilakukan adalah mengembalikan semula hak ahli-ahli untuk memilih pucuk pimpinan baru.
Nai Chee bersama 15 ahli CC parti termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung; bekas Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Yoo Wei How; Gan Hong Su dan Chai Kim Sen yang telah dipecat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada 29 Oktober lalu telah menyerahkan memorandum tersebut bagi mengadakan EGM kedua.
IKLAN@UTUSAN
|