|
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Krisis dalaman MCA semakin hampir menemui penyelesaian apabila pihak yang bertelagah bersetuju mengadakan pemilihan semula parti bagi menentukan pucuk pimpinan baru.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, persetujuan mengadakan semula pemilihan parti dicapai oleh beliau dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Beliau berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang tidak dapat hadir pada pertemuan itu kerana mempunyai urusan rasmi di luar negara turut menyatakan persetujuannya terhadap cadangan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua pihak bagaimanapun perlu berbincang lebih lanjut untuk menentukan bila tarikh pemilihan akan diadakan kerana masing-masing berbeza pendapat.
''Pihak beliau (Tiong Lai) dan pihak saya termasuk Presiden MCA sependapat menyokong diadakan pemilihan semula parti supaya kita dapat memilih barisan pemimpin Pusat.
''Tetapi yang menjadi pertikaian ialah tarikhnya. Tiong Lai berpendapat, Disember dan Januari adalah tarikh sesuai mengadakan pemilihan, tetapi saya berpendapat, ia seharusnya dilakukan pada Mac,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan taklimat tertutup dengan pasukan khas yang ditubuhkan untuk membincangkan mengenai sistem pemilihan baru MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurut Soi Lek, beliau tidak setuju pemilihan parti diadakan pada Disember ini kerana ramai pemimpin MCA mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga memandangkan pada masa itu merupakan musim cuti sekolah.
Katanya, bulan Januari juga bukan tarikh sesuai mengadakan pemilihan kerana para perwakilan sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah dan membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina.
Tambahnya, Tee Keat pula berpendapat, pemilihan parti sesuai diadakan dalam tempoh enam hingga lapan bulan dari sekarang kerana mahu sistem pemilihan baru digunakan.
''Mungkin Tee Keat berpendapat bahawa kaedah pemilihan baru lebih sesuai digunakan sebab itu, beliau memerlukan masa yang lebih panjang iaitu enam ke lapan bulan.
''Tetapi, kalau kita menggunakan kaedah sedia ada iaitu membuat undian melalui 2,400 perwakilan Pusat, maka kita boleh adakan pemilihan dalam masa lebih singkat,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Soi Lek mendesak Tiong Lai supaya membatalkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA pada 28 November ini bagi menunjukkan komitmen dan sokongannya terhadap usaha dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin dalam menyelesaikan krisis MCA.
Katanya, Muhyiddin dalam pertemuan malam tadi telah menasihatkan semua pemimpin MCA agar berbincang menggunakan kebijaksanaan demi kepentingan MCA dan Barisan Nasional (BN).
Soi Lek turut mencadangkan supaya semua pihak menghentikan perang mulut dalam media dan dikekalkan status quo dalam parti tersebut.
IKLAN@UTUSAN
|