|
PUTRAJAYA 24 Nov. - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerjasama kesemua pemimpin MCA agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengusutkan penyelesaian krisis dalaman parti itu.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, dalam proses mencari formula penyelesaian muktamad itu, maka adalah elok mereka tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan isu itu.
''Dalam keadaan ini, yang A kata ini, yang B kata begini, yang C kata atas, yang D kata bawah, (maka) ia akan hanya mengelirukan masyarakat.
''Tidak payahlah kita buat kenyataan sebab (dengan berbuat demikian) ia tidak akan menjejaskan kredibiliti mereka," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7 di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin menetapkan tempoh seminggu untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA.
Dalam tempoh tersebut, beliau akan merangka satu formula untuk dipersetujui oleh semua pihak yang bertelagah dan membuka jalan bagi mencari penyelesaian muktamad.
Kata Muhyiddin, beliau mahu para pemimpin MCA melihat langkah itu sebagai kaedah terbaik untuk menghentikan sebarang perselisihan seterusnya mencapai situasi menang-menang kepada semua pihak.
IKLAN@UTUSAN
|