Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 25/11/2009
Tian Chua minta maaf dakwaan seleweng

Tian Chua minta maaf dakwaan seleweng

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Tian Chua (PKR-Batu) memang dikenali sebagai seorang yang agak 'lantang' di Dewan Rakyat apabila sering mendedahkan pelbagai penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh menteri dan timbalan menteri.

Bagaimanapun, beliau yang bangun mencelah ketika sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) bersikap sebaliknya apabila tidak membuat pendedahan penyelewengan baru sebaliknya menyatakan ingin meminta maaf.

Menurut Tian Chua, beliau ingin menarik balik tuduhan yang dibuat terhadap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof yang didakwanya menjadi pengarah sebuah syarikat yang telah diberikan kontrak membekalkan tenaga elektrik menggunakan kuasa solar di Sabah.

''Saya ingin menarik balik kenyataan ini. Saya menyatakan Shorefield Sdn. Bhd. mendapat kontrak ini dan saya telah menyebut mengikut laman web syarikat berkenaan ia telah menyenaraikan Fadillah sebagai pengarah.

''Kemudian saya dimaklumkan Timbalan Menteri ini telah meletakkan jawatan dari syarikat berkenaan. Saya memohon maaf kerana hanya bergantung kepada maklumat dalam laman web," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa Timbalan Menteri KKLBW, Datuk Joseph Entulu Belaun menggulung perbahasan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini malam ini.

Dakwaan itu dibuat Tian Chua ketika membahaskan Bajet 2010 pada peringkat dasar bagi kementerian itu kira-kira dua minggu lalu.

Walaupun mengakui kesilapannya, Ahli Parlimen Batu itu berkata, satu persoalan yang belum terjawab ialah kenapa Shorefield diberikan kontrak secara runding terus dan bukannya melalui tender terbuka.

Sementara itu, Entulu ketika penggulungannya berkata, beliau mengakui menerima aduan daripada orang ramai mengenai saiz jalan kampung yang sempit sehingga tidak membolehkan kenderaan berselisih.

''Kita sedar mengenai perkara ini. Sebab itu semua projek jalan kampung yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) perlu mengikut piawaian baru.

''Piawaian baru ini menetapkan lebar jalan adalah antara empat hingga tujuh meter bagi membolehkan kenderaan berselisih," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kes piawaian baru itu tidak dapat dipatuhi berikutan rizab jalan yang sempit dan tidak mendapat keizinan daripada pemilik tanah persendirian di kiri kanan jalan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN