Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 25/11/2009
Skim Pembiayaan Kesihatan dikaji

Skim Pembiayaan Kesihatan dikaji

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kementerian Kesihatan bercadang melaksanakan Skim Pembiayaan Kesihatan (SPK) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sekiranya dipersetujui kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya kini sedang meneliti dan memperhalusi pelaksanaan skim itu.

"Beberapa perkara perlu dikaji sebelum dilaksanakan seperti aplikasi analisis risiko dan aplikasi analisis kewangan jangka panjang.

"Apabila semua syarat ini sudah ditetapkan, kita akan bentangkan secepat mungkin di Parlimen," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai pelaksanaan enakmen yang mewajibkan pekerja swasta dan kerajaan membayar insurans kesihatan melalui potongan gaji RM5 atau RM10 sebulan.

Menjawab soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan), Rosnah menjelaskan, pesakit yang kurang berkemampuan layak menikmati rawatan dengan pembiayaan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) yang diwujudkan sejak 2005.

Menurutnya, bantuan itu meliputi peralatan perubatan dan implan yang boleh dipohon pesakit melalui pakar perubatan atau pegawai kerja sosial perubatan di hospital.

"Risalah dan iklan mengenai TBP diedarkan di hospital kerajaan, klinik kesihatan, pejabat kesihatan dan hospital swasta," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, kementerian tetap memantau dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat pesakit yang membuat rayuan melalui media.

Dalam perkembangan lain, Rosnah menafikan wujud monopoli atau pemberian permit import (AP) tunggal kepada sebuah syarikat untuk membekalkan ubat serta kelengkapan perubatan di seluruh negara.

"Dakwaan Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan bahawa kementerian melaksanakan sistem monopoli dalam melantik syarikat pembekal ubat dan barang perubatan adalah tidak benar.

"Ia syarikat yang dilantik kerana mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pengurusan pembekalan ubat serta segala perkara berkaitan perubatan di negara ini," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN