|
![]() |
|
Najib Tun Razak pada majlis makan tengah hari bersama tokoh korporat dan pengurus dana dari Amerika Syarikat di New York, semalam. – BERNAMA |
NEW YORK 24 Nov. – Pendekatan Malaysia terutama perubahan-perubahan yang dilakukan mesti terus disebarkan secara konsisten kepada masyarakat korporat global agar negara tidak tenggelam dalam persaingan yang semakin sengit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang dalam misi ‘menjual Malaysia’ di pasaran Amerika Syarikat (AS) menegaskan, pelabur dan pengurus dana global mesti terus didekati dalam persaingan sengit daripada kemunculan ekonomi baru seperti China, India dan Vietnam.
“Kita kena jadikan Malaysia lebih menarik dengan mendekati mereka dan tanya apa yang mereka mahu, jika tidak kita akan tertinggal,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan siri pertemuan dengan pelabur dan pengurus dana Amerika Syarikat di sini hari ini.
Antara siri pertemuan itu ialah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Chelsea Property Group, John Klein, Presiden Enterprise Mobility Solutions (EMS) Motorola Inc., Gene Delaney dan Presiden Forbes Ind., Steve Forbes.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan Malaysia anjuran CIMB Berhad dan Credit Suisse First Boston (CSFB) dan makan tengah hari bersama pelabur dan pengurus dana anjuran CSFB, JP Morgan dan Barclays Bank.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. Turut mengiringi Perdan Menteri dalam lawatan itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib yang singgah di New York dan Washington dalam perjalanan ke Trinidad dan Tobago bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) menjelaskan, lawatannya walaupun ringkas tetapi memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan proses pembaharuan termasuk dasar liberalisasi dan penambahbaikan yang telah dilakukan.
Mengulas lanjut siri pertemuan itu, beliau berkata, para pelabur melihat Malaysia lebih positif secara keseluruhannya sambil berharap usaha pembaharuan dapat terus dilakukan dan mahu melihat hasilnya.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan terus melakukan perkara yang diminati oleh pelabur terutama yang hendak melabur di Bursa Malaysia seperti penyenaraian semula Maxis yang memberi kesan besar kepada minat pengurus dana.
Jelas beliau, para pelabur berharap langkah yang dilakukan Maxis itu disusuli dengan penyenaraian syarikat bermodal besar lain agar pengurus dana yang sebahagiannya mewakili dana berjumlah berbilion dolar ini dapat ikut serta.
“Selain syarikat berdana besar, mereka juga ingin melabur dalam syarikat yang diurus tadbir dengan baik dan berkesan. Salah satu aduan mereka ialah kurangnya syarikat yang mereka anggap bersaiz besar.
“Kesimpulannya mereka menerima baik dan berminat dengan pendekatan Malaysia ini tetapi mereka ingin melihat hasil daripada pelaksanaan perubahan-perubahan yang dilakukan,” jelasnya.
Para pelabur dan pengurus dana juga, tambah Perdana Menteri, mahu supaya pegangan saham daripada badan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dikurangkan.
Katanya, semua maklum balas daripada pelabur dan pengurus dana itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Ekonomi untuk dikaji kesesuaian pelaksanaannya.
Mengenai lawatan ke AS akan datang, Najib berkata, beliau telah dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di AS pada April depan selain jemputan memberikan syarahan di Harvard Business School.
Mengulas penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga, katanya, Malaysia mungkin mempertimbangkan menggunakan nuklear selain langkah segera memanfaatkan hidro, gas dan arang batu.
Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan rakyat dan sahabat Malaysia di sekitar New York dalam majlis makan malam di kelab eksklusif, Metropolitan Club sebelum berlepas ke Washington. – utusan
IKLAN@UTUSAN
|