Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 24/11/2009
Anwar cuba jadi wira kaum India - Kohilan

Anwar cuba jadi wira kaum India - Kohilan

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan nasib etnik Tamil di Sri Lanka dilihat sebagai cubaannya menjadi wira kaum India di negara ini, kata timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Kohilan berkata, dalam isu etnik Tamil di negara itu, Kuala Lumpur berpendirian Colombo mampu menanganinya selari dengan kemahuan masyarakat antarabangsa hasil sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, kerajaan berpandangan, konflik di Sri Lanka merupakan isu dalaman negara berkenaan dan sejajar itu, Malaysia perlu menghormati prinsip kemerdekaan dan integriti wilayah serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

''Pelarian di Sri Lanka juga mendapat perlindungan sepatutnya dan negara itu sedang melakukan penyusunan semula pelarian yang mana bilangannya telah berkurangan kepada 158,000 orang berbanding 278,000 pada Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Ramasamy Palanisamy (DAP-Batu Kawan) mengenai keperluan mengadakan sidang tergempar bagi membincang isu pembunuhan beramai-ramai etnik Tamil di Sri Lanka pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mendengar jawapan Kohilan itu, Anwar bangkit mencelah dengan menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pandangan berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya sewaktu berada di Colombo bulan lalu, kerajaan Sri Lanka nyata gagal menangani isu para pelarian yang kini berada di pusat-pusat pelarian dan ingin kembali ke kampung halaman masing-masing.

''Saya tidak berpuas hati dengan jawapan timbalan menteri, walaupun saya bukan orang Tamil atau Hindu, masalah ini masih besar dan belum ada kesungguhan Sri Lanka untuk tangani masalah melibatkan majoriti Tamil Hindu dan minoriti Tamil Muslim yang berada dalam keadaan paling buruk," kata Anwar.

Kohilan seterusnya membalas: ''Saya ingin beritahu sewaktu YB Permatang Pauh (Anwar) berada di Colombo, saya juga ada di Colombo.

''Saya terkejut apa dikatakan beliau di Colombo berbeza dengan apa yang dikatakannya di Malaysia."

Jawapan Kohilan itu membuatkan Anwar kembali bangkit dan mencabar timbalan menteri berkenaan supaya menarik balik kenyataannya serta menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan percanggahan kenyataannya di Colombo dan Kuala Lumpur.

Kohilan seterusnya berkata: ''Saya tidak perlu tarik balik kerana tidak sama (kenyataan Anwar di Colombo), saya kata tidak sama."

Pada ketika itu, keadaan Dewan menjadi riuh rendah dengan campur tangan kedua-dua pihak Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Antaranya, N. Gobalakarishnan (PKR-Padang Serai) berteriak bahawa penjelasan Kohilan memalukan kaum India dan kerana itu, Kohilan perlu menggantung dirinya sendiri.

Kohilan yang kelihatan tenang kemudiannya menjelaskan Malaysia memang prihatin dengan nasib etnik Tamil di sana berdasarkan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan kepada Sri Lanka melalui badan-badan kemanusiaan antarabangsa.

Dalam pada itu, jelas beliau, kerajaan Sri Lanka telah berjanji untuk menghantar semula rakyatnya yang menjadi pelarian pulang ke kampung halaman masing-masing apabila kerja pembersihan periuk api di kawasan terbabit siap iaitu sekitar Januari depan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN