Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 24/11/2009
Berhemah tangani kempen burukkan sawit

Berhemah tangani kempen burukkan sawit

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Kerajaan akan menggunakan pendekatan berhemah bagi menangani propaganda dan kempen memburuk-burukkan minyak sawit yang dilakukan oleh syarikat pengeluar minyak masak berasaskan komoditi lain.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, strategi kerajaan yang tidak menyerang syarikat berkenaan adalah langkah terbaik bagi memastikan kempen memburuk-burukkan minyak sawit dapat diatasi sepenuhnya.

‘‘Kita mahu syarikat terbabit melihat industri pengeluaran minyak sawit di negara ini adalah kawan mereka dan bukannya lawan.

‘‘Lebih baik syarikat pengeluar berkenaan termasuk yang menggunakan kacang soya berbincang mengenai cara-cara memenuhi permintaan minyak masak di seluruh dunia yang bertambah dari semasa ke semasa dan bukannya saling menyerang antara satu sama lain,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum itu, Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) yang bangun mencelah mempertikaikan sikap kerajaan yang hanya bertahan dan tidak menyerang pengeluar minyak soya yang menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis persatuan pencinta alam sekitar untuk memburuk-burukkan minyak sawit.

Pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis Barat itu mendakwa perladangan sawit di Malaysia memusnahkan hutan semula jadi dan menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan perubahan cuaca dan pemanasan global.

Menurut Hamzah, antara langkah-langkah bagi menangani kempen itu ialah dengan mengadakan program penerangan untuk memastikan masyarakat dunia mengetahui penanaman dan pengeluaran minyak sawit di negara ini dibuat secara mapan.

‘‘Kita mahu mereka mengetahui pengeluaran komoditi ini sentiasa mengambil kira kebersihan, tidak memusnahkan alam sekitar, habitat hidupan liar dan tidak banyak melepaskan gas rumah hijau,” ujarnya.

Katanya, program penerangan itu dilakukan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang menyebarkan maklumat menerusi laman web, iklan dan filem dokumentari yang disiarkan menerusi saluran televisyen utama di seluruh dunia.

‘‘Untuk tujuan menangani kempen memburukkan-burukkan minyak sawit, kerajaan telah menyediakan peruntukan sehingga tahun ini sebanyak RM24.1 juta. Pada tahun depan peruntukkannya ialah sebanyak RM10 juta,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga membiayai kajian saintifik mengenai kebaikan minyak sawit dari segi kesihatan, menganjurkan lawatan kerja dan mengadakan dialog dengan NGO supaya mereka mengetahui fakta yang sebenarnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN