|
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Persepsi bahawa Malaysia sebagai pusat pengedaran senjata terlarang adalah tidak benar walaupun terdapat syarikat dan individu negara ini dibicarakan di Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan sedemikian.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, hanya dua syarikat Malaysia iaitu Eco Biochem Sdn. Bhd. dan Vast Solution Sdn. Bhd. serta dua individu iaitu Brian Kaam dan Majid Seif dibicarakan di AS atas tuduhan sedemikian.
‘‘Syarikat dan individu berkenaan dikenakan 13 tuduhan dan didakwa di Mahkamah Daerah Selatan Florida.
‘‘Di antara pertuduhan itu termasuk konspirasi, melanggar peraturan di bawah peruntukan undang-undang AS,” katanya menjawab soalan William Leong (PKR-Selayang) mengenai dakwaan pihak tentu bahawa Malaysia adalah salah satu pusat pengedaran senjata terlarang dunia.
Beliau memberitahu, Brian Kaam yang merupakan warganegara Malaysia juga dikenali sebagai Kam Chee Mun, manakala Majid pula ialah warganegara Iran yang menetap di negara ini.
Kohilan menjelaskan, pertuduhan ke atas mereka termasuk memberi keterangan palsu berkenaan pengeksportan alatan buatan AS yang mempunyai dua kegunaan iaitu barangan yang mempunyai aplikasi komersial dan boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Apa yang berlaku, katanya lagi, pada 1998, terdapat syarikat Malaysia yang mengimport peralatan dua kegunaan dari AS sebelum mengeksportnya ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Kemudian, jelasnya, syarikat Dubai berkenaan mengeksport pula alat berkenaan ke Iran dan sewaktu itulah ia dikesan oleh AS.
Katanya, kes berkenaan terpencil berbanding ratusan kes di AS yang melibatkan syarikat-syarikat dari negara itu sendiri.
IKLAN@UTUSAN
|