|
KUALA LUMPUR 23 Nov. — Para peniaga pada prinsipnya dilarang daripada mengenakan caj tambahan kad kredit atau ”surcharge” kepada pelanggan yang membeli barangan menggunakan kad kredit, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, larangan ke atas pengenaan caj tambahan adalah selaras dengan peraturan syarikat penjenama kad seperti MasterCard Worldwide dan Visa International, serta dalam syarat perjanjian di antara peniaga dan institusi pemeroleh peniaga.
"Pemegang kad sebenarnya berhak memaklumkan kepada institusi pemeroleh peniaga atau pengeluar kad kredit yang berkenaan mengenai pengenaan caj tambahan dengan mengemukakan bukti, contohnya resit bayaran yang menyatakan jumlah caj tambahan itu supaya dapat disiasat dan tindakan sewajarnya boleh diambil oleh institusi pemeroleh peniaga, ke atas peniaga yang berkenaan.
"Pemegang kad juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli barangan daripada peniaga yang mengenakan caj tambahan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di Parlimen hari ini.
Abdul Rahman ingin tahu mengapa kedai-kedai dibenarkan mengenakan caj tambahan sebanyak dua peratus kepada pembeli yang menggunakan kad kredit dan menyifatkan tindakan itu sebagai “rompakan siang hari”. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|