Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 23/11/2009
Tiong Lai yakin isu MCA selesai sebelum akhir tahun ini

Tiong Lai yakin isu MCA selesai sebelum akhir tahun ini

PULAU PINANG 22 Nov. - Pergolakan dalaman MCA boleh diselesaikan sebelum akhir tahun ini dan parti itu akan muncul dengan semangat baru untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika menyuarakan keyakinan tersebut berkata, MCA mempunyai prinsip demokrasi yang boleh membantunya mengatasi kemelut sekarang.

''Apabila masalah parti ini selesai kelak, MCA akan muncul dengan semangat baru sekali gus memainkan peranannya bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.

''MCA komited untuk meneruskan agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memastikan gagasan 1Malaysia dapat dilaksanakan secara meluas di peringkat akar umbi,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli MCA negeri ini yang turut dihadiri Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Tiong Lai meminta rakyat negara ini terutama masyarakat Cina supaya memberikan mereka sedikit masa untuk menyelesaikan isu parti itu dan yakin akan kembali sebagai sebuah parti yang lebih mantap.

''Kita sedang berusaha menyelesaikan isu yang melanda parti ini dengan kadar segera supaya MCA dapat memainkan peranannya bersama parti komponen BN dan kita tidak akan hampakan rakyat dan komuniti Cina di negara ini.

''MCA mempunyai kekuatannya tersendiri dan kita juga mampu menjadi pemangkin perubahan, pembangunan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negara ini," katanya.

Menurut Tiong Lai, pihaknya juga bersedia untuk tidak meneruskan perancangan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua sekiranya semua perwakilan bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti dengan segera.

''Saya berharap cadangan ini akan dipersetujui dan dijalankan dalam tempoh terdekat. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana parti ini perlu bangkit dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kita yakin mampu selesaikan semua perkara itu," ujarnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan beliau yang sedia mendengar pandangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi parti itu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN