|
IPOH 22 Nov. – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek meminta Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya bersabar dan tidak terus mendesak supaya parti mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini.
Beliau berkata, ini kerana semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti, cuma yang menjadi pertikaian sekarang adalah bila pemilihan tersebut akan diadakan.
‘‘Saya berharap Tiong Lai dapat bersabar. Pihak kami tidak menafikan hak dan tuntutan untuk mengadakan pemilihan parti kerana kita semua selama ini bersetuju bahawa harus ada pemilihan parti.
‘‘Pada hemat saya, Januari dan Mac (pemilihan parti) tidak ada perbezaan besar kerana apa yang lebih penting ialah memastikan perpaduan dalam parti supaya krisis dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan ahli MCA Perak di sini hari ini.
Tiong Lai hari ini bertegas untuk mengadakan EGM pada 28 November ini bagi menentukan sama ada pemilihan parti perlu diadakan.
Beliau bagaimanapun berkata, EGM itu tidak perlu diadakan sekiranya semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti sebelum tarikh itu.
Mengulas lanjut Soi Lek berkata, pihaknya berasakan pemilihan parti hanya boleh diadakan seawal-awalnya pada Mac depan kerana ia merupakan masa yang terbaik.
‘‘Kalau kita adakan pada Januari atau Februari, ia akan mendatangkan masalah kerana terlalu dekat dengan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta MCA mengeluarkan keputusan penuh laporan mengenai kewujudan skuad pengintip dalam parti itu bagi menutup terus isu tersebut.
Kata beliau, pihaknya hanya mengetahui melalui media bahawa kesimpulan siasatan mendapati bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak terlibat dalam skuad pengintip tersebut.
‘‘Orang seperti saya mendapat kesan daripada isu ini. Saya ingin melihat laporan tersebut kerana tidak pernah menerimanya walaupun dipanggil memberi keterangan sebagai saksi.
‘‘Orang mati pun ada laporan bedah siasat untuk mewujudkan ketelusan bagi memastikan orang ramai puas hati dengan keputusan dan ini amat penting,” katanya sambil mendakwa mungkin Tiong Lai terlibat dalam skuad pengintip itu.
Pada 12 Mei 2008, Penasihat MCA Bahagian Petaling Jaya Utara, Wong Leong dalam kenyataannya mendakwa penglibatan Ka Ting dan Tiong Lai dalam skuad pengintip dan Tee An Chuan diupah untuk mengetuai skuad tersebut.
Kewujudan skuad pengintip itu turut dipercayai terlibat dalam kes rakaman cakera video digital (DVD) seks Soi Lek pada awal tahun lalu.
IKLAN@UTUSAN
|