Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 23/11/2009
Kemelut Pas Kelantan beri kesan kepada rakyat

Kemelut Pas Kelantan beri kesan kepada rakyat

KOTA BHARU 22 Nov. - Kemelut yang melanda Pas Kelantan bukan sahaja memberi kesan kepada parti itu tetapi rakyat negeri ini turut menerima tempias akibat pentadbiran yang semakin kucar-kacir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, perkara itu berlaku disebabkan fokus pemimpin-pemimpin kerajaan negeri lebih terarah kepada masalah dalaman parti sehingga kepentingan rakyat terabai.

"Kita amat dukacita dengan apa yang berlaku. Sudah pasti ini akan menjejaskan pentadbiran negeri ini ketika rakyat memerlukan pembelaan.

"Rakyat negeri ini mengharapkan satu pentadbiran yang cekap dan amanah tetapi apa yang berlaku akhir-akhir ini menimbulkan banyak keraguan terhadap keupayaan pemerintah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diminta mengulas kekusutan dalam Pas Kelantan terutama tentang khabar angin Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri.

Tindakan Husam dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mustapa berkata, kerajaan negeri perlu telus menjalankan tugas mereka dan tidak menyembunyikan sesuatu daripada rakyat kerana mereka berhak untuk mengetahuinya.

"Dalam menjalankan pentadbiran, kita perlu telus dan berterus-terang kepada rakyat kerana jika tidak akan menimbulkan lebih banyak keraguan dan kesangsian.

"Sebab itu saya harap rakyat akan membuat penilaian selepas ini mengenai kemampuan Pas Kelantan yang telah memerintah sejak sekian lama," tambahnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN