|
NEW YORK 22 Nov. – Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini akan membuka era baru hubungan ekonomi yang lebih mesra antara kedua-dua buah negara.
Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Jamaludin Jarjis berkata, lawatan itu tepat pada masanya dengan perubahan kepimpinan kedua-dua buah negara selain kedudukan AS yang sedang dalam pemulihan daripada krisis kewangan sehingga kerajaan terpaksa memberi bantuan.
Menurutnya, Perdana Menteri dijangka menjelaskan mengenai dasar-dasar kerajaan termasuk liberalisasi dan model ekonomi baru bagi menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih kondusif.
“Keruntuhan sistem kewangan AS sudah pulih dengan syarikat-syarikat terlibat telah mula membayar semula dana-dana yang disalurkan oleh kerajaan. Saya percaya kedatangan Perdana Menteri akan memberi kesan yang baik kepada negara,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Trinidad dan Tobago bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) singgah di New York dan Washington, untuk menemui ketua-ketua industri dan perkhidmatan kewangan antarabangsa serta komuniti Malaysia.
Jamaludin yang menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Barack Obama pada 4 November lalu berkata, lawatan Najib juga akan memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk melihat sendiri pemulihan sistem kewangan AS yang berlaku sekarang.
Katanya, beliau melihat hubungan Malaysia-AS berpotensi baik untuk berkembang berikutan kedua-dua negara mempunyai kepimpinan baru dengan dasar dan pendekatan berbeza berbanding semasa pentadbiran George W.Bush.
“Dengan suasana politik baru ini hasilnya tentunya kepada rakyat Malaysia dengan kemasukan pelaburan atau pelaburan tempatan ke luar negara yang dapat membuka peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi,” katanya.
Jamaludin menambah, industri perkhidmatan kewangan negara ini sangat mengalu-alukan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh Najib dan menyatakan rasa terkejut dalam beberapa perkara termasuk pengumuman insentif-insentif baru kepada pelabur.
Mereka, jelasnya, melihat Malaysia memang wajar melakukan perubahan seiring dengan suasana ekonomi dunia.
Susulan daripada lawatan Najib itu, Jamaludin berkata, beliau akan menyusun rangka kerja perdagangan termasuk menghidupkan semula Kaukus Malaysia-AS yang diperkenalkannya dahulu semasa menerajui Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Dijadualkan tahun depan kita akan lancarkan semula kerjasama ini, saya sendiri telah berbincang dengan kedua-dua pengerusi bersama dari parti Demokrat dan Republikan,” jelasnya.
Menyentuh perlunya pembentukan kumpulan kerjasama itu, Jamaludin berkata, selain White House, pengaruh daripada wakil-wakil rakyat di Dewan Senat penting bagi mempengaruhi dasar-dasar dan pendekatan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua buah negara.
Jamaludin turut menyatakan Malaysia masih menunggu reaksi dasar-dasar baru AS mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua buah negara yang sehingga kini masih terbantut.
Perdana Menteri yang dijadual tiba di New York pukul 1.20 petang ini (2.20 pagi Isnin waktu Malaysia) akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban ki-moon yang dihoskan oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hamidon Ali.
Keesokan harinya, Najib akan menghadiri pertemuan Malaysia Pintu Masuk ke ASEAN anjuran CIMB dan Credit Suisse First Boston (CSFB) disusuli makan tengah hari bersama ketua-ketua industri perkhidmatan kewangan anjuran CSFB, JP Morgan dan Barclays Bank.
Kemudiannya Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden of Enterprise Mobility Solution (EMS), Motorola Inc., Gene Delanay diikuti dengan Presiden Forbes Inc., Steve Forbes.
Pada sebelah malamnya, beliau akan hadir pada majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia sebelum berlepas ke Washington. – Utusan.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|