|
BANDUNG 22 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis ekonomi negara akan tumbuh antara tiga hingga empat peratus berikutan langkah-langkah memberangsangkan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau berkata, beberapa inisiatif baru juga diambil dalam mewujudkan ekonomi berteraskan berpendapatan tinggi berbanding sederhana dan rendah sebelum ini.
"Inisiatif-inisiatif baru itu perlu agar Malaysia dan rakyat kita tak terkongkong dalam ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana," katanya ketika berucap pada jamuan makan malam bersama lebih 600 pelajar Malaysia di sini malam tadi.
Turut hadir pada jamuan makan malam di Hotel Hilton itu ialah Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar.
Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan mengeluarkan Malaysia daripada kemelut ekonomi yang melanda dunia.
Lantaran itu, beliau mahu semua pihak termasuk rakyat dan pelajar Malaysia di luar negara turut memastikan transformasi ekonomi itu berjalan dengan cepat dan lancar.
Muhyiddin juga menjelaskan bahawa dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, pucuk pimpinan negara telah memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk jemaah menteri.
"Ini antaranya untuk memastikan usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga yakin para pelajar di luar negara masih tebal rasa cintakan negara dan sentiasa menjaga imej Malaysia walaupun di mana mereka berada.
Beliau mahu setiap pelajar termasuk di Indonesia yang majoritinya mengikuti pengajian kedoktoran, pergigian, farmasi dan agama Islam agar menumpukan perhatian terhadap pembelajaran mereka.
Pada masa yang sama, kata beliau, para pelajar berkenaan turut boleh membantu memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
"Setiap pergaulan baik dengan penduduk tempatan akan membantu mencerminkan imej positif Malaysia dan menjadikan lebih ramai orang luar mengenali negara kita," katanya.
Kata beliau, pelajar Malaysia dan Indonesia khususnya perlu berperanan memperkukuhkan lagi hubungan akrab yang telah terjalin sejak berkurun-kurun lamanya yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara. - Utusan
IKLAN@UTUSAN
|