|
![]() |
|
Erat... Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Menteri Perikanan dan Kelautan Indonesia, Fadel Muhammad pada perjumpaan tidak rasmi di Bandung, Indonesia, semalam. - BERNAMA |
BANDUNG 22 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan menteri- menteri menjalinkan hubungan peribadi dengan anggota Kabinet Indonesia bagi mewujudkan hubungan yang sentiasa akrab antara kedua-dua buah negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, cara tersebut memudahkan pertemuan serta perbincangan secara formal dan tidak formal diadakan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.
"Saya sendiri hari ini berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perikanan dan Kelautan, Ir. Fadel Muhammad secara tidak formal, sebagai sahabat lama yang dahulu merupakan Gabenor Gorontalo (Sulawesi) dan kini beliau menjadi menteri Kabinet (Presiden) Susilo Bambang Yudhoyono," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut di sini hari ini.
Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja tiga hari di sini.
Tambah Timbalan Perdana Menteri, tidak semua isu harus dibincangkan secara rasmi sahaja, kerana perbincangan secara tidak rasmi juga dapat menyelesaikan banyak masalah secara bersama.
"Dalam pertemuan tadi, beliau (Fadel) berasa sukacita kerana dapat berperanan untuk bersama tingkatkan hubungan kerjasama sektor perikanan dan kelautan. Tadi beliau sempat memberikan pandangan supaya eksport ikan dari Indonesia dipertingkatkan khusus membabitkan bahan asas industri pemakanan," ujar beliau.
Kata Muhyiddin, Indonesia juga mempelawa pengusaha Malaysia melabur dalam pembinaan kilang ais di Aceh yang sangat diperlukan oleh nelayan tempatan pada masa ini.
Selain itu, jelas beliau, kerjasama dalam mencegah pencerobohan nelayan kedua-dua buah negara juga dapat dilakukan.
"Kita amat serius mewujudkan hubungan istimewa yang akrab dengan Indonesia kerana kita tahu betapa penting hubungan baik itu," katanya. - Utusan
IKLAN@UTUSAN
|