|
NEW YORK 22 Nov — Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke New York mulai Ahad akan membuka laluan bagi anjakan baru dalam hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, terutamanya dalam bidang ekonomi, demikian menurut kalangan para diplomat.
Perdana Menteri Malaysia akan menggunakan kesempatan masanya di New York untuk
“menjual” bagi meningkatkan pelaburan Amerika di negara-negara Asia Tenggara.
Bagi Duta Malaysia ke Amerika yang baru dilantik Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, lawatan Perdana Menteri ke negara itu amat mengujakannya.
"Perdana Menteri telah bersedia untuk memberikan maklumat kepada para pelabur Amerika dan ketua-ketua perkhidmatan industri kewangan mengenai dasar-dasar baru serta langkah dan tindakan yang diperkenalkan Malaysia dalam usahanya untuk menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan,” kata Jamaluddin kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Najib.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadual berada di New York dan Washington dari 22 hingga 25 Nov sebelum berlepas ke Trinidad dan Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel.
- BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|