|
BERA 22 Nov. — Pemborong dan pekedai dibenar menyimpan stok barang-barang keperluan makanan lebih 30 peratus daripada stok biasa pada musim banjir ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi memastikan penduduk di kawasan yang dilanda banjir tidak putus bekalan makanan.
“Selain membenarkan stok berlebihan untuk bekalan makanan seperti beras, tepung gandum dan minyak masak, pemborong juga diminta menghantar segera barangan keperluan itu ke kawasan yang mudah dilanda banjir dengan harga biasa,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sukaneka Pusat Dalaman Komuniti (PDK) di Tementi, dekat Bera, di sini, hari ini, Ismail Sabri berkata kebenaran itu hanya membabitkan negeri yang dilanda banjir.
Beliau berkata pasar raya besar dan kecil juga memberi jaminan untuk menyediakan bekalan barangan yang mencukupi kepada orang ramai dengan harga berpatutan.
"Tidak dinafikan ada sesetengah negeri harga barang makanan basah seperti ikan, ayam dan daging naik antara 5 sen hingga 20 sen, tetapi ini tidak membebankan pengguna. Kenaikan itu disebabkan negeri terbabit dilanda banjir,” katanya.
Ismail Sabri berkata beliau juga telah meminta Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan di setiap negeri memberi laporan harian mengenai bekalan barangan keperluan makanan di negeri mereka.
— BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|