|
JAKARTA 21 Nov. - Peguam Negara akan meneliti saman yang dikemukakan bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang, Perak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau belum mendapat laporan lengkap apakah yang menjadi kemusykilan bapa-bapa tiga mangsa berkenaan.
''Kita tidak jangka tindakan itu kerana ia malapetaka dan saya tidak mahu komen banyak kerana ia boleh digunakan oleh pihak tertentu.
''Biarlah apabila ia menjadi kes mahkamah dan soal undang-undang, penasihat undang-undang kementerian dan Peguam Negara yang memberi nasihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 11 pemimpin Kelab UMNO Luar Negara di Indonesia di sini hari ini.
Semalam bapa kepada tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang pada hujung bulan lalu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.
Mereka terdiri daripada K.Mageswaran, K.Vasudevan dan T.Nathan - masing-masing bapa kepada mendiang M.Dava Dharshini, 11; V.Divyashree, 12; serta N.Dina Deve, 11.
Setiap plaintif terbabit menuntut ganti rugi am RM35 juta daripada 10 defendan yang dinamakan dalam saman tersebut.
Turut dituntut adalah ganti rugi khas RM19,120, ganti rugi teladan RM100,000, faedah lapan peratus bagi jumlah penghakiman, kos dan relif-relif lain.
Dalam kejadian pada 26 Oktober lalu, tiga murid terbabit menyertai 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan sebelum mereka ditimpa bencana tersebut. - Mingguan
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|