|
![]() |
|
PESERTA terbaik keseluruhan, Mohd. Syafiq Farhan Amsar (tengah) bersama Alister Nyalang Anak Guntur (kiri) dan Mohd. Thariq Mahd. Supon pada majlis penutup Kursus Asas Konstabel Sokongan Siri 1 di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 21 Nov. – “Kalau anak saya masuk polis, mati dia nanti kena tembak.” Demikian anggapan Aminah Md. Yasin, 58, ketika anaknya, Mohd. Syafiq Farhan Amsar, 18, menyatakan hasrat untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), kira-kira lima bulan lalu.
Bagaimanapun, kebimbangan Aminah lenyap apabila anak bongsunya itu diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan Kursus Asas Konstabel Sokongan Siri 1 di Pusat Latihan Polis Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.
Menurut Aminah, dia dan suaminya, Amsar Othman, 65, yang bekerja sebagai peneroka di Felda Pasoh 3, Batu Kikir, Negeri Sembilan sebelum ini kurang mengetahui tentang tugas polis.
“Saya mengaku tidak tahu tugas polis. Jadi ketika Mohd. Syafiq beritahu dia akan menyertai polis, saya tidak benarkan kerana bimbang berlaku sesuatu yang buruk.
“Bagi saya, dia mungkin akan mati kalau masuk polis kerana semasa menonton drama ‘Gerak Khas’ saya tengok polis selalu kena tembak,” katanya ketika ditemui selepas anaknya itu tamat perbarisan bersama 698 pelatih konstabel sokongan tersebut.
Tambahnya, anggapan itu juga mengganggu fikirannya selama sebulan selepas Mohd. Syafiq menyertai latihan.
“Kami juga tidak tahu tentang anugerah yang akan Mohd. Syafiq terima kerana dia tidak memberitahu apa-apa.
“Namun apabila namanya diumumkan menerima anugerah itu, saya cukup terharu dan bangga dengan pencapaiannya,” ujarnya gembira.
Katanya, kerisauan yang bermain di hati seorang ibu juga kini lenyap kerana telah mengetahui kebolehan anaknya itu.
Sementara itu, Kategori Terbaik Akademi dirangkul anak kelahiran Sarawak, Alister Nyalang Anak Guntur, 20.
Manakala Kategori Terbaik Latihan Luar pula menjadi milik Mohd. Thariq Mahd. Supon, 19. dari Perlis.
Majlis penutup itu disempurnakan Timbalan Pengarah 1, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Nooryah Md. Anvar.
IKLAN@UTUSAN
|