|
KUALA LUMPUR 21 Nov. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat klip video terbaru Wee Meng Chee atau Namewee yang dikatakan mengutuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengenal pasti adakah ia bercanggah dengan undang-undang negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, siasatan itu akan dilakukan secara berhati-hati berikutan klip video itu agak berbeza kerana ia menyentuh mengenai syarikat dan bukannya negara seperti klip video Negarakuku.
Kita akan tunggu laporan dari SKMM. Siasatan ini dilakukan secara berhati-hati memandangkan klip video ini membabitkan isu perkhidmatan syarikat yang didakwa tidak cekap, katanya kepada pemberita selepas melepaskan 60 kenderaan yang dinaiki 250 peserta Kembara Bernama-Tourism Malaysia 2009 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia Rabu lalu mengenai klip video yang boleh dimuat turun di YouTube menggunakan tajuk Namewee F*** TNB Malaysia mengenai tindakannya menyerbu cawangan syarikat itu di Muar bagi melahirkan perasaan tidak berpuas hati kerana bekalan elektrik di rumahnya terputus.
Klip video itu memaparkan tindakan lepasan jurusan komunikasi massa Universiti Ming Chuan, Taiwan yang memaki hamun kakitangan TNB dengan bahasa kesat sambil menunjukkan isyarat lucah dengan tangan.
IKLAN@UTUSAN
|