|
KUANTAN 21 Nov. - Polis menolak dakwaan kematian seorang banduan di Penjara Penor dekat sini pada Rabu lalu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Hasil penelitian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di penjara itu, polis mendapati mangsa mati akibat terjatuh dan bukannya disebabkan oleh perlakuan jenayah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi, mangsa terjatuh ketika cuba memanjat dinding dewan penjara berkenaan.
"Polis telah meneliti rakaman CCTV di penjara itu dan mendapati mangsa jatuh ketika cuba memanjat dinding dewan di penjara berkenaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang seorang bapa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Penjara Penor berhubung kematian anaknya, Pattah Ismail, 36, yang meninggal dunia dalam keadaan meragukan ketika ditahan di penjara itu pada Rabu lalu.
Ismail Omar, 68, tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak penjara berhubung punca kematian anaknya yang dikatakan terjatuh ketika sedang beratur dalam barisan.
Pattah yang baru enam bulan menjalani hukuman selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun akibat kesalahan rogol dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum meninggal dunia.
Zulkifli memberitahu, siasatan yang dijalankan mendapati, kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan terjatuh dan bukannya berpunca daripada perbuatan jenayah.
Tambah beliau, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
IKLAN@UTUSAN
|