Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 22/11/2009
Ibu hamil maut

Ibu hamil maut


Kereta Kancil yang dinaiki Masnih Manan remuk teruk selepas dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar-Kota Kinabalu berhadapan dengan stesen minyak Petronas, Putatan, awal pagi semalam. – Mingguan/Junaidi Ladjana


PUTATAN 21 Nov. – Seorang wanita mengandung yang dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak pertamanya maut setelah kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar-Kota Kinabalu di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Masnih Manan, 27, dari Kampung Petagas dekat sini serta bayi dalam kandungannya terbunuh di tempat kejadian.

Selain ibu malang itu, adiknya, Hamdan, 26, dan isterinya, Rina Muharny Abdullah, 26, serta ibu mertua mangsa, Jerani Rayah, 55, yang menaiki kereta yang sama cedera parah.

Difahamkan, suami mangsa ketika kejadian bertugas di luar daerah di Sandakan.

Ketika kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu oleh Hamdan itu sedang menuju ke Pusat Perubatan Sabah di Penampang, manakala kereta pacuan empat roda terbabit datang dari arah Kampung Ketiau ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Madang Usat berkata, kenderaan pacuan empat roda itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh kereta mangsa.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 28 tahun hanya cedera ringan.

“Ahli keluarga Masnih yang parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sejurus tiba di QEH, petugas hospital cuba menyelamatkan bayi dalam kandungan mangsa tetapi gagal.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku di hadapan stesen minyak Petronas itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN