|
BESUT 21 Nov. - Seramai 132 pelajar dan 13 pensyarah Politeknik Kota Bharu, Kelantan yang terperangkap ketika berkhemah di Hutan Lipur Lata Belatan apabila laluan masuk ke pusat rekreasi itu ditenggelami banjir, berjaya diselamatkan petang ini.
Mereka yang sepatutnya keluar dari tapak perkhemahan di lata itu pagi ini dilaporkan terperangkap apabila paras air Sungai Belatan tiba-tiba naik dan menutup laluan masuk ke hutan lipur tersebut.
Kumpulan itu mula mengikuti perkhemahan sejak Khamis lalu dan sepatutnya pulang hari ini.
Bagaimanapun, hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa lokasi dari Kampung Kuala Kubang ke kawasan rekreasi berkenaan dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Roslan Hassan berkata, seramai 132 pelajar dan 13 pensyarah politeknik itu dibawa keluar menaiki empat buah bas sebaik sahaja air mula surut, pukul 4 petang ini.
"Mereka dibawa menaiki bas dan berjaya dikeluarkan dari lokasi banjir itu. Bagaimanapun, seramai 14 orang tenaga pengajar masih berada di pusat rekreasi itu kerana kenderaan masing-masing masih terperangkap di kawasan perkhemahan tersebut.
"Kesemua mereka, sama ada pelajar dan pensyarah yang masih berada di lokasi perkhemahan berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Roslan, peserta perkhemahan itu kemudian dibawa ke Masjid Kampung Jabi untuk berehat dan makan sebelum pulang ke Kota Bharu.
IKLAN@UTUSAN
|