|
JOHOR BAHRU 21 Nov. – Badan Perhubungan UMNO negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap kes penahanan enam ahli UMNO Bahagian Kota Tinggi, kelmarin.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kredibiliti badan berkenaan sentiasa diyakini untuk membendung rasuah terhadap sesiapa sahaja di negara ini tanpa pilih kasih.
“Jika pemimpin parti pembangkang disabitkan, maka ada yang menuduh SPRM tidak adil, tetapi sebenarnya SPRM sentiasa ambil tindakan bukan dengan cara memilih.
“Jika cukup bukti, saya percaya sudah tentu SPRM akan mengambil tindakan dengan tanpa memilih siapa,” tegas beliau selepas merasmikan Hospital Pakar Regency di Seri Alam Pasir Gudang dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kes penahanan enam ahli UMNO Kota Tinggi termasuk bekas Setiausaha Akhbar menteri kerana didakwa memberi rasuah kepada beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO bahagian itu kelmarin.
IKLAN@UTUSAN
|