|
KUALA LUMPUR 21 Nov. - Ketua-ketua UMNO yang sedang dibicarakan di mahkamah atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dinasihatkan tidak campur tangan dalam urusan bahagian masing-masing.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, larangan itu selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) bahawa pemimpin di semua peringkat yang sedang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti itu.
''Saya minta kepada mereka ini jangan campur tangan dalam urusan bahagian sebaliknya biarlah pemangku ketua bahagian yang uruskan.
''Sikap mereka yang masih ingin campur tangan boleh menjejaskan imej UMNO di kalangan rakyat dan menyukarkan usaha kita untuk meraih sokongan pengundi," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rungutan ahli-ahli UMNO Bahagian Pandan berikutan tindakan pemimpinnya yang masih mempengerusikan mesyuarat dan menyampaikan ucapan pada majlis anjuran bahagian walaupun telah dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
MT UMNO dalam mesyuarat pada Mei lalu memutuskan pemimpin parti yang digantung jawatan secara automatik itu hanya akan dikembalikan jawatan masing-masing sekiranya mahkamah mendapati mereka tidak bersalah.
Mengikut Fasal 6.2.2 Perlembagaan UMNO, mereka yang digantung akan hilang hak-hak untuk memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti sepanjang satu tempoh yang telah ditetapkan.
Tengku Adnan yang mengesahkan menerima aduan mengenai bahagian itu turut mendedahkan bahawa pihaknya juga mendapat aduan membabitkan satu bahagian lain.
''Kita telah menerima aduan mengenai bahagian berkenaan dan satu lagi bahagian lain. Kita akan bawa kes ini ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang akan datang.
''Saya serahkan kepada jawatankuasa ini (yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memutuskan tindakan selanjutnya," ujar beliau.
IKLAN@UTUSAN
|