|
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan perintah mahkamah dalam pelbagai kes merupakan cara beliau untuk menutup kelemahan diri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, taktik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga ibarat ugutan bagi menutup mulut para pengkritiknya.
“Itu taktik Anwar untuk mempertahankan diri iaitu mana-mana individu yang ada kes dengan dia, dia akan serang cepat seperti dengan Datuk S. Nallakarupan dan Ezam Mohd. Nor (bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan).
“Dia memang mahir kerana menggunakan mahkamah memang selari dengan undang-undang tetapi itu hanya taktik Anwar untuk melambat-lambatkan kes,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ezam semalam yang mengatakan Anwar tidak berani berhadapan dengan bekas kawan baiknya, Nallakarupan, berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd.
Ezam berkata, tindakan Anwar menggunakan peguam untuk meminta pelbagai bukti berhubung dakwaan itu adalah bagi melengah-lengahkan perjalanan kes.
Ismail Sabri menambah, dalam dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, taktik sama juga digunakan pemimpin pembangkang itu.
“Apabila dia rayu di mahkamah, sudah tentu kes akan tertangguh dan sekiranya rayuan ditolak, Anwar akan merayu pula di mahkamah yang lebih tinggi,’’ tegasnya.
Justeru, beliau berharap orang ramai menyedari taktik menggunakan mahkamah dalam pelbagai isu hanyalah strategi Anwar untuk menutup kelemahannya.
IKLAN@UTUSAN
|