|
KUALA LUMPUR 21 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk mempersoalkan integriti mahkamah kerana beliau sendiri gagal memahaminya dengan melengahkan perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, apa yang dilakukan oleh Anwar pada masa kini secara terang-terangan gagal menghayati konsep integriti yang sebenarnya.
''Sebelum beliau mahu bercakap soal integriti, pastikan beliau terlebih dahulu berani menyelesaikan perbicaraan liwatnya yang telah tertangguh sekian lama.
''Anwar sendiri sebenarnya yang merosakkan kredibiliti dan integriti mahkamah di negara ini tanpa beliau sedari,'' katanya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang mempersoalkan integriti mahkamah syariah pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
Pada sidang itu, Anwar menyatakan integriti mahkamah syariah boleh dipersoalkan semua pihak termasuk oleh masyarakat bukan Islam.
Beliau kemudian mengaitkan ketelusan institusi itu dengan kes bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dihadapkan ke mahkamah di samping hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno.
Dalam pada itu Mohd. Puad menegaskan, sikap Anwar adalah sama dengan pengendali blog MalaysiaToday, Raja Petra Raja Kamarudin yang hanya tahu mempersoalkan integriti mahkamah di negara ini.
''Cuma yang bezanya Anwar melengahkan kesnya sementara Raja Petra pula melarikan diri daripada perbicaraan,'' katanya.
Oleh itu, beliau berharap supaya Anwar segera menyelesaikan kes liwatnya bagi menjaga kredibiliti dirinya serta integriti mahkamah.
Dalam isu Dr. Asri, beliau meminta Anwar meneliti secara mendalam mengenai isu penahanan itu dan bukannya secara melulu mengkritik mahkamah syariah.
''Satu negara tahu Dr. Asri adalah bekas mufti dan ahli agama, tetapi peraturan tetap perlu dipatuhi iaitu perlu mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
''Seperkara lagi, JAIS berada di bawah kerajaan pakatan pembangkang Selangor jadi mengapa beliau hendak mempertikaikan penahanan Dr. Asri di Dewan Rakyat,'' soalnya.
IKLAN@UTUSAN
|