|
BENTONG 21 Nov. - Pergerakan Wanita UMNO mempelawa orang ramai yang berminat melakukan kerja-kerja kebajikan agar mendaftar diri menyertai Skuad Sayang untuk bersama-sama membantu keluarga miskin dan mangsa bencana.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ramai rakyat negara ini tanpa mengira jantina, kaum dan agama berminat melakukan kerja-kerja kebajikan.
Katanya, niat mereka bagaimanapun terbantut apabila tidak tahu saluran atau pertubuhan mana yang patut dipilih untuk berkhidmat.
Menurutnya, menyedari keadaan ini, maka Wanita UMNO mengambil inisiatif membuka keahlian Skuad Sayang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang.
''Walaupun Skuad Sayang ditubuhkan oleh Wanita UMNO, tetapi kerja-kerja kebajikan yang dilakukan adalah merentasi politik.
''Oleh itu, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat dalam kerja-kerja sukarela menyertai skuad ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Jalinan Rakyat Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bentong di Kampung Janda Baik di sini hari ini.
Pada majlis itu, Shahrizat turut menyampaikan bantuan beg sekolah kepada 100 murid dan 50 set selimut kepada warga emas.
Beliau turut mengambil kesempatan melawat beberapa rumah keluarga miskin dan menyampaikan bantuan berupa hamper makanan bagi meringankan beban mereka.
Menurut Shahrizat, orang ramai yang berminat menjadi ahli Skuad Sayang boleh mendaftar dengan bahagian dan cawangan Wanita UMNO di seluruh negara.
Beliau berkata, Skuad Sayang merupakan sebahagian daripada aktiviti yang diwujudkan di bawah Projek Sayang yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Oktober lalu.
Katanya, projek ini berkonsepkan kebajikan, sukarela dan kemasyarakatan sebagai menepati hasrat UMNO serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
''Ia mengambil konsep yang mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan kasih sayang dan kebajikan serta mengekalkan hubungan silaturrahim bersama rakyat melalui pendekatan mesra, mudah dan pantas," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|