|
KOTA BHARU 21 Nov. - Gelombang kedua banjir mula melanda negeri ini apabila seramai 250 penduduk di Kuala Krai dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air petang ini.
Ia ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di semua sungai meningkat mendadak terutama Sungai Kelantan yang mula melimpah di Kuala Krai.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, kesemua mangsa mula dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Telekong, Kuala Krai bermula pukul 4 petang.
Bagaimanapun katanya, tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada kemalangan jiwa setakat ini.
"Kesemua mereka merupakan penduduk Kampung Telekong yang tinggal berhampiran tebing Sungai Kelantan.
"Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di Rantau Panjang dengan 14 orang daripada tiga keluarga dipindahkan berikutan rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Serentak itu, pada pukul 4 petang ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah di semua daerah di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Rabu depan.
Amaran hujan peringkat merah ialah hujan monsun yang lebat dan meluas dijangka berlaku dalam beberapa jam yang menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.
Ia juga boleh membahayakan kanak-kanak yang bermain berdekatan dengan longkang besar dan tebing sungai.
Sementara itu, sehingga pukul 5 petang ini, paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah kini pada paras 23.72 meter dan melepasi paras bahaya.
Gelombang pertama banjir pada awal bulan ini menyaksikan lebih 3,000 penduduk dipindahkan terutama di Rantau Panjang dan Tumpat dengan dua kematian dilaporkan.
Jurucakap tersebut berkata, penduduk di kawasan rendah diminta bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang.
"Kita juga meminta kepada ibu bapa supaya memerhatikan anak-anak mereka agar tidak bermain air banjir yang boleh mengundang perkara yang tidak diingini," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|