Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 22/11/2009
Generasi muda dipereratkan

Generasi muda dipereratkan


MUHYIDDIN Yassin bersalaman bersama pemimpin-pemimpin pelajar Malaysia di Indonesia semasa pertemuannya di hotel penginapannya sempena lawatan kerja di Jakarta, Indonesia, semalam. – BERNAMA


JAKARTA 21 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menyokong usaha yang dilakukan oleh pelajar Malaysia di Indonesia dalam melaksanakan program mengeratkan hubungan generasi muda kedua-dua buah negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program yang boleh dilaksanakan adalah berbentuk aktiviti amal kebajikan, kebudayaan dan kesukanan.

Katanya, program sedemikian dapat memupuk persefahaman di kalangan pelajar Malaysia dengan pelajar tempatan.

‘‘Di seluruh Indonesia terdapat 6,000 pelajar, walaupun ia adalah luar daripada kebiasaan tetapi saya lihat di sini ada keperluan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat dengan 11 pemimpin Kelab UMNO Luar Negara di Indonesia yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar.

Sehubungan itu Muhyiddin meminta para pelajar berkenaan supaya menyediakan kertas kerja berhubung program yang akan dilaksanakan dan sejauhmanakah pembabitan pelajar tempatan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, dua bulan lalu Persatuan Pelajar Malaysia Indonesia telah ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Perkara itu juga, ujar beliau, bertepatan dengan apa yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Malaysia dan pertemuan beliau dengan Naib Presiden Indonesia, Boediono di Rom baru-baru ini.

‘‘Kerajaan pada dasarnya mengalu-alukan usaha tersebut dan tidak keberatan untuk memberi bantuan dana dan saya telah meminta kertas kerja disediakan.

‘‘Saya fikir di sini (Indonesia) ada asas dan sesuai, kerana walaupun kita serumpun dan sebudaya tetapi kadangkala menjadi renggang kerana isu-isu tertentu dan usaha ini membolehkan para pelajar menjadi duta mewakil seluruh rakyat Malaysia bagi memberi gambaran baik bahawa kita sentiasa memupuk kerjasama dan perpaduan,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata, dalam pertemuan itu beliau juga mengambil peluang bertukar pandangan dengan para pemimpin pelajar terbabit berhubung kedudukan parti dan juga perkara berbangkit berhubung pelajar Malaysia di Indonesia.

Muhyiddin berkata, beliau juga menjelaskan kepada mereka tentang situasi di Malaysia dan tentang gagasan 1Malaysia iaitu tentang inisiatif pimpinan parti membawa pembaharuan dan perubahan serta dasar baru kerajaan dalam meningkatkan pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Di samping itu tambah Muhyiddin, beliau juga menjelaskan beberapa isu politik di dalam negara dan usaha untuk memperkasakan orang Melayu melalui pelajaran dan mahu para pelajar memberi tumpuan kepada pelajaran selain terlibat di dalam aktiviti kelab.

Dalam perbincangan itu, kata beliau, pelajar membangkitkan tentang isu pengiktirafan ijazah pengajian Islam dari sesetengah universiti dan layanan berbeza oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan perkara itu akan dibawa perhatian kepada pihak berkenaan.

Selain itu wakil dari Padang, Sumatera Barat, ujar beliau, menyatakan terima kasih kepada kerajaan kerana cepat menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar ketika bencana gempa baru-baru ini.

Satu pertiga daripada pelajar terbabit, jelas beliau, kini meneruskan pelajaran di universiti di Padang, manakala selebihnya meneruskan pelajar di universiti tempatan. – Mingguan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN