|
PULAU PINANG 21 Nov. — Kerajaan Pulau Pinang hari ini mendedahkan minit mesyuarat Exco, Jawatankuasa Tanah dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengenai kedudukan sebidang tanah seluas 1.4 hektar di Georgetown yang ditukar statusnya daripada pajakan kepada pegangan kekal.
Maklumat itu, yang dihantar menerusi e-mel kepada media hari ini, bagaimanapun tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mengenai pembohongan yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sidang DUN Ogos lalu berhubung dasar tanah yang diperkenalkan kerajaan negeri itu.
Sebaliknya, dalam kenyataan itu, Lim mendakwa Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah membuat tuduhan melulu dan tidak berasas.
Katanya, PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH) adalah syarikat usahasama di antara PDC (49 peratus) dan YTL Hotels & Properties Sdn Bhd (YTL H&P) (51 peratus).
Berdasarkan surat daripada YTL Corporation pada 9 Mei 2007, katanya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah bersetuju secara prinsip pada 18 Jan 2007 untuk menukar kepada pegangan hak milik kekal untuk PHH dan kepada syarat nyata tanah untuk “tujuan kediaman dan perniagaan sahaja”.
Katanya, surat daripada PDC pada 17 Julai 2007 pula meminta PHH membuat permohonan menukar syarat nyata tanah kepada pegangan hak milik kekal. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|