|
KUALA LUMPUR 21 Nov — Kira-kira dua juta orang dijangka mengunjungi muzium-muzium di seluruh negara tahun ini setelah kebanyakan muzium berkenaan mempelbagaikan aktiviti tahunanannya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf.
Beliau berkata berdasarkan statistik, 18 muzium di bawah Jabatan Muzium Negara menerima sejumlah 1.28 juta pelawat dari Januari hingga 8 Sept tahun ini.
"Bukan hanya pameran, malah aktiviti seperti bermalam di muzium, ceramah, forum, bengkel dan seumpamanya dapat menjadikan muzium sebagai destinasi yang terus dikunjungi terutamanya ketika musim cuti sekolah ini.
"Kini muzium menyediakan peragaan pameran dengan penggunaan Audio Visual, Info-Kiosk, Hologram, Paper Ghost dan sistem pencahayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Magis Belantara Herba Orang Asli di sini hari ini.
Menurutnya sebelum ini, muzium banyak memfokuskan kepada aspek kebudayaan, alat muzik, akademik dan alam semulajadi seperti haiwan dan hidupan lain.
Kamaruddin berkata pada tahun lepas, jumlah pengunjung berkurangan kerana ada sesetengah muzium terpaksa ditutup kerana menjalankan kerja-kerja penambahbaikan.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata sebagai institusi yang berperanan menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat, muzium bertanggungjawab melaksanakan kewajipan itu dengan sebaiknya dalam mencerna dan memacu rakyat ke arah pembinaan sebuah negara.
Beliau berkata orang ramai digalakkan memanfaatkan pameran hari ini untuk membawa anak-anak, yang kini bercuti sekolah, menyelongkar rahsia khazanah alam dari perspektif amalan perubatan masyarakat Orang Asli.
Menurutnya anak-anak generasi kini hanya tahu herba yang dimakan daripada kapsul yang dijual di kedai-kedai sebagai makanan tambahan tetapi tidak pernah melihat secara dekat akan rupanya yang asal.
Menurutnya apabila anak-anak tahu rupa asal herba itu, mereka akan lebih menghargainya dan melindunginya dengan lebih baik supaya ia kekal tumbuh sebagai khazanah negara yang bernilai tinggi.
"Banyak lagi amalan perubatan Orang Asli yang belum diselongkar dan dikaji untuk dikomersialkan. Ini juga satu potensi yang menyumbang kepada hasil pendapatan negara,” katanya.
Pameran itu, yang bermula 14 Nov hingga 31 Dis tahun ini, memaparkan keistimewaan 118 jenis herba dan 10 jenis peralatan yang digunakan masyarakat Orang Asli secara fizikal dan ritual.
— BERNAMA
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|