Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 21/11/2009
Kerajaan terima permohonan pinjaman teknologi hijau

Kerajaan terima permohonan pinjaman teknologi hijau

21/11/2009 3:52pm

KUALA LUMPUR 21 Nov — Kerajaan telah mula menerima beberapa permohonan pinjaman untuk dana RM1.5 bilion yang diwujudkan bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau di negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Dana itu yang dijangka mula disalurkan 1 Jan 2010, membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka.

Bagi syarikat pembekal, pinjaman maksimum yang boleh dibuat ialah RM50 juta dan syarikat pengguna, RM10 juta.

Chin berkata kerajaan juga telah menyediakan pelbagai insentif seperti elaun cukai pelaburan, taraf perintis, pengecualian duti import serta pengecualian cukai jualan bagi bangunan yang telah mendapat pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

"Oleh itu, saya menyeru agar syarikat-syarikat yang berkaitan, meneroka dan membangunkan bidang teknologi hijau di samping menikmati insentif demi manfaat negara dan alam sekitar,” katanya selepas merasmikan Karnival Cekap Tenaga 2009 hari ini.

Kerajaan juga katanya, telah menggubal Dasar Teknologi Hijau Negara untuk memacu perkembangan teknologi hijau, di samping memelihara alam sekitar.

Empat tonggak di bawah dasar itu ialah tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial.

"Bagi sektor tenaga, cabaran utama ialah untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menggunakan tenaga cekap,” kata Chin.

Malaysia, kata beliau, sedang berusaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber api fosil dengan meneroka sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Kementerian saya telah pun memulakan usaha untuk menentukan bekalan tenaga yang mencukupi bagi negara. Usaha masih diteruskan untuk mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber fosil,” katanya.

— BERNAMA

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN