Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 21/11/2009
Kerajaan akan bantu kerajaan negeri tingkat pertumbuhan ekonomi

Kerajaan akan bantu kerajaan negeri tingkat pertumbuhan ekonomi

21/11/2009 3:51pm

KUALA SELANGOR 21 Nov — Kerajaan persekutuan akan membantu kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan pertumbuhan ekonomi mereka jika pertumbuhannya rendah, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah hari ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan mengambil inisiatif supaya setiap negeri mempunyai perangkaan pertumbuhan tahunan agar dapat dipantau kedudukan ekonominya sama ada mencapai pertumbuhan yang tinggi atau sebaliknya.

Husni berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Terbengkalai di Bandar Alam Perdana dekat sini.

Beliau berkata beberapa langkah telah diatur kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lima peratus pada tahun hadapan.

Sebelum ini kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar dua hingga tiga peratus tahun hadapan tetapi kementerian kewangan telah mengambil keputusan menaikkan unjuran pertumbuhan itu kepada lima peratus dengan beberapa strategi tertentu.

Bagi mencapai lonjakan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada lima peratus, kerajaan akan berusaha untuk meningkat permintaan pengguna melalui beberapa insentif, katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insentif-insentif berkenaan.

Beliau berkata projek-projek yang dicadang untuk dilaksana melibatkan sektor swasta akan turut dipercepatkan.

Selain daripada itu, projek-projek di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan, katanya.

Ahmad Husni berkata: “Jadi dengan melalui proses tersebut kita jangka kita dapat peroleh lima peratus pertumbuhan untuk tahun hadapan.”

— BERNAMA

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN