|
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA pada 28 November ini perlu diteruskan bagi menyelesaikan kemelut parti itu.
Presiden Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri William Cheng berkata, pihaknya percaya krisis MCA dapat diselesaikan secara demokrasi jika parti itu mengadakan pemilihan parti secepat mungkin.
Beliau berkata, pemilihan ini membolehkan 2,380 ahli perwakilan pusat menentu dan mengundi pucuk pimpinan baru bagi parti tersebut.
''Hanya pemimpin yang diundi melalui pemilihan parti boleh diiktiraf sebagai sah dan dihormati oleh semua ahli-ahli MCA,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut William, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengemukakan Pelan Perpaduan Menyeluruh (GUP) untuk menamatkan krisis dan menyatukan parti.
Katanya, bagaimanapun, perkembangan terkini dan perubahan keanggotaan drastik dalam MCA menyebabkan keadaan menjadi bertambah kelam-kabut dan memecahkan perpaduan parti.
Tambahnya, perkembangan baru ini amat mengecewakan dan membimbangkan masyarakat peniaga Cina di negara ini.
IKLAN@UTUSAN
|