Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 21/11/2009
Samy Vellu berundur terajui MIC Mei 2010?

Samy Vellu berundur terajui MIC Mei 2010?

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan berundur daripada menerajui parti itu pada Mei tahun depan.

Sumber dalaman MIC memberitahu, Samy Vellu mengambil keputusan tersebut untuk memberi peluang kepada timbalannya, Datuk G. Palanivel.

Sehubungan itu, pemimpin kanan MIC itu berkata, Persidangan Tahunan MIC (AGM) yang selalunya diadakan pada Jun atau Julai setiap tahun akan dipercepatkan pada Mei tahun depan bagi membolehkan peralihan kuasa itu berlaku.

''Samy Vellu mengambil keputusan itu dengan tenang dan hati terbuka. Beliau juga sangat yakin dengan barisan kepimpinan yang telah berjaya dalam pemilihan parti September lalu.

''Majlis Tertinggi MIC juga difahamkan, beliau tidak akan mencampuri urusan dalaman MIC dan akan memberi peluang sepenuhnya kepada Palanivel untuk mengetuai parti itu,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Samy Vellu mula memimpin MIC sejak 1978 dan beliau berjaya melakarkan 'sejarah' apabila menyandang jawatan berkenaan buat tempoh waktu yang amat lama.

Baru-baru ini, ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Samy Vellu dan menggesa beliau untuk meletak jawatan bagi memperkuatkan jentera BN.

Mereka mendakwa parti yang memperjuangkan masyarakat India itu paling teruk menerima tamparan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan semakin tidak relevan kerana ia masih diterajui oleh Samy Vellu.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu berkata, Samy Vellu akan menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelia Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

Kata beliau, NGO itu akan diketuai oleh Samy Vellu dan beberapa ahli MIC akan dikenal pasti untuk mengendalikan badan itu.

''Ini kerana beliau ingin menyelesaikan segala masalah di dalam MIED yang merupakan entiti kewangan MIC supaya ia menjadi lebih kuat dan relevan bagi masyarakat India di negara ini.

''Selain itu, Samy Vellu juga akan meluangkan masa lapangnya untuk membuat kerja-kerja kebajikan demi kebaikan masyarakat India di negara ini,'' katanya.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin MIC lain akan tetap menghormati keputusan Samy Vellu dan akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palanivel.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN