|
SEREMBAN 20 Nov. - Bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang ekoran kemenangannya dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Oktober lalu.
Mohd. Isa, 60, berbuat demikian di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor pada persidangan Dewan itu di sini hari ini.
Beliau kemudiannya menandatangani surat sumpah sebagai ADUN Bagan Pinang yang membolehkannya turut serta dalam sesi Persidangan DUN yang berlangsung hari ini diikuti pada 23, 24, dan 25 November ini.
Mohd. Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu.
Pada pilihan raya kecil itu, Mohd Isa menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.
Sementara itu, Razak dalam perutusannya mengalu-alukan penyertaan Mohd. Isa sebagai ahli terbaru Dewan itu selain mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang BN dalam pilihan raya kecil berkenaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan atas kejayaan merangkul Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 7 November lalu.
''Kemenangan tersebut adalah hadiah yang tidak ternilai sempena pertabalan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 26 Oktober lalu.
''Kejayaan membawa pulang piala berprestij ini selepas 61 tahun adalah hasil komitmen tinggi pegawai dan pemain di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan," katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa tiga ADUN iaitu Datuk Roslan Yusof (BN-Johol), Datuk Dr. Awaludin Said (BN-Kota) dan Rashid Latiff (PKR-Ampangan) tidak hadir pada persidangan itu.
Menurut beliau, Roslan tidak hadir kerana sakit, Awaludin menunaikan haji manakala Rashid mempunyai urusan penting.
IKLAN@UTUSAN
|