|
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ahli-ahli dan pimpinan MCA oerlu mengutamakan parti daripada kepentingan peribadi bagi memulihkan krisis dalam parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (gambar) berkata, tindakan mementingkan diri sendiri tidak akan memulihkan kemelut yang dihadapi sebaliknya menyebabkan ia semakin sukar untuk diselesaikan.
Katanya, cara terbaik adalah dengan melupakan kepentingan peribadi dan mengadakan perbincangan untuk kesepakatan demi memulihkan kembali parti yang mewakili kaum Cina itu.
"Kita dalam Barisan Nasional (BN) melihat perkembangan dalam MCA secara dekat dan berharap penyelesaian bijaksana untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.
"Bagaimanapun, semua ahli dan kepimpinan perlu ikhlas, jujur serta melakukan pengorbanan dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan sentimen berpuak-puak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Krisis dalaman MCA semakin kusut apabila mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu Khamis lalu mengumumkan keputusan drastik termasuk menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini.
Mesyuarat juga melucutkan keanggotaan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun serta tujuh lagi dalam Majlis Presiden.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang tetap mahu ahli-ahli MCA menghadiri EGM tersebut menyifatkan keputusan CC sebagai operasi pancung sejak mesyuarat 3 November lalu.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakan-rakan dalam komponen BN sedang menunggu MCA pulih sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan kaumnya bukan kepentingan diri sendiri.
IKLAN@UTUSAN
|