|
Veteran MCA, Tan Sri Micheal Chen Wing Sum (gambar) berkata, sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), Najib merupakan individu paling layak bertindak sebagai orang tengah berbincang dengan pemimpin terbabit bagi menjernihkan hubungan antara mereka.
''Keputusan Perdana Menteri campur tangan menyelesaikan pertelingkahan di kalangan pemimpin MCA adalah tindakan yang sangat bagus.
''Najib individu paling tepat dipilih menyelesaikan krisis dalaman MCA. Pemimpin yang bertelagah patut mendengar pandangan beliau demi kebaikan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Najib berjumpa secara berasingan dengan setiap pemimpin utama MCA sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua parti itu yang dirancang pada 28 November ini.
Tindakan tersebut diambil selepas Pengerusi BN itu melihat bahawa krisis MCA menjadi semakin serius.
Krisis dalaman MCA semakin parah apabila mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu kelmarin memutuskan menolak EGM kedua yang dirancang kumpulan yang menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Susulan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat turut mengumumkan pelucutan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presiden MCA yang terlibat merancang EGM kedua berkenaan termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Bagaimanapun, tidak semua pemimpin dan ahli MCA bersetuju campur tangan Perdana Menteri campur itu.
Seorang ahli CC MCA, Datuk Ti Lian Ker dalam kenyataannya kepada media semalam berkata, pemimpin yang ditolak oleh parti harus mengelak daripada memanipulasi dan melibatkan pemimpin parti komponen BN lain dalam krisis parti itu.
Lian Ker yang baru dilantik sebagai ahli Majlis Presiden MCA pada Rabu lalu turut mengkritik Ka Siong dan Mei Fun kerana didakwa bermain drama dan memutarbelitkan fakta mengenai rombakan Majlis Presiden.
Beliau menganggap Ka Siong dan Mei Fun sengaja bermain 'drama politik' apabila menitiskan air mata selepas dilucutkan keanggotaan ahli Majlis Presiden.
Mengulas lanjut, Micheal yang berpengalaman berdepan krisis MCA terdahulu berkata, Perdana Menteri boleh mencadangkan formula yang baik untuk menyelesaikan krisis MCA dan pertelingkahan membabitkan pemimpin utama parti.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden MCA dan pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara menegaskan, krisis dalaman parti itu harus diselesaikan segera.
Menurutnya, ini kerana ia krisis yang berlarutan boleh menjadi punca BN ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
IKLAN@UTUSAN
|