|
![]() |
|
Najib Tun Razak melihat sebahagian daripada lembu Qurban yang akan diagihkan kepada masjid-masjid, surau, Badan Kerajaan dan NGO dalam Parlimen Pekan pada Majlis Penyerahan Surat Wakil Pengurusan Ibadah Qurban Aidiladha 2009 di Pekan, Pahang, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali |
KUANTAN 20 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak optimis formula penyelesaian yang dicadangkannya dapat menyelesaikan krisis kepimpinan MCA selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin utama parti itu hari ini dan semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, para pemimpin utama MCA pada dasarnya bersetuju dengan formula penyelesaian yang dicadangkan olehnya pada pertemuan itu.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk formula yang dicadangkan itu.
''Mereka (MCA) sedang menimbangkannya dan saya yakin mereka akan bersetuju dengan formula yang dicadangkan itu. Tujuan pertemuan itu supaya dapat dicari titik pertemuan krisis MCA.
''Saya juga telah menggambarkan apakah bentuk penyelesaian dan formula yang mungkin boleh diterima semua pihak dan dengan harapan bahawa formula ini dapat mengembalikan kredibiliti dan keyakinan ahli MCA dan masyarakat Cina terhadap MCA," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat wakil pengurusan ibadah korban Aidiladha bagi Parlimen Pekan di Bangunan UMNO di sini hari ini.
Sebanyak 427 ekor lembu diagihkan kepada 55 masjid dan 160 surau dalam Parlimen Pekan pada majlis berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuannya dengan beberapa pemimpin MCA hari ini dan semalam dalam usaha mencari penyelesaian berhubung kemelut kepimpinan parti itu yang berlarutan sejak tiga bulan lalu.
Semalam Najib berkata, krisis MCA semakin serius dan memerlukan campur tangan beliau.
Katanya, berdasarkan pertemuan yang dibuat secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin utama MCA itu, semua pihak mahu krisis parti itu diselesaikan secepat mungkin.
''Nampaknya ada harapan (kerana) mereka bersetuju menerima cadangan dan formula yang saya cadangkan," katanya.
Ditanya sama ada krisis MCA dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, beliau menegaskan: ''Kita tunggu sehari dua ini untuk melihat proses formula ini, kita hendak selesaikan secepat mungkin."
Najib berkata, beliau telah memaklumkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin MCA berdasarkan formula yang dicadangkan itu.
''Oleh kerana saya dijadualkan berlepas ke Trinidad & Tobago untuk menghadiri Persidangan Ketua Negara Komanwel (CHOGM), saya telah memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula yang saya telah gambarkan itu," katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|