Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 21/11/2009
Sasar kurangkan kematian ibu

Sasar kurangkan kematian ibu

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malaysia menyasarkan mengurangkan kematian ibu ketika bersalin sehingga di bawah 20 orang daripada 100,000 kelahiran menjelang 2015 dan di bawah 15 orang pada 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pihaknya komited mengurangkan kadar itu memandangkan ia satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada kementerian itu.

Pada masa sama, katanya, kementerian ingin mencapai Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) iaitu mengurangkan 75 peratus kadar kematian ibu menjelang 2015.

"Sejak lima tahun lalu, jumlah kematian ibu ketika bersalin di negara ini ialah antara 25 dan 27 orang daripada 100,000 kelahiran hidup.

"Saya mengambil berat perkara ini memandangkan obstetrik embolisme, pendarahan post-partum (ketika berpantang), gangguan hipertensi dalam kehamilan dan masalah berkaitan seperti darah tinggi ketika kehamilan boleh dicegah dan dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kolej Doktor Obstetrik dan Ginekologi di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Profesion Perubatan kementerian, Dr. Rohaizat Yon.

Mohd. Ismail berkata, secara perbandingannya, peratusan kadar kematian ibu ketika bersalin di negara ini masih pada tahap terbaik berbanding negara lain.

Katanya, pihaknya akan menjadikan negara seperti Singapura dengan kadar kematian 14 orang daripada 100,000 kelahiran hidup sebagai contoh di samping New Zealand (9/100,000) dan Australia (4/100,000).

Tambah beliau, 60 peratus kematian ketika bersalin berlaku semasa tempoh post-natal yang melibatkan kategori umur 40 tahun ke atas.

"Kematian yang besar pada tempoh itu (post-natal) seharusnya menjadi dorongan kepada kita memperbaiki kualiti penjagaan semasa tempoh post-partum," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Ismail berkata, bilangan rakyat negara ini yang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan terutama membabitkan ahli obstetrik dan ginekologi semakin meningkat.

Menurutnya, berdasarkan semakan semula pada 2003 hingga 2007, 55 peratus atau 26 daripada 47 kes perubatan yang diambil tindakan undang-undang adalah membabitkan kedua-dua bidang itu.

Katanya, 26 kes itu membabitkan bayaran ganti rugi berjumlah RM1.37 juta daripada keseluruhan tuntutan RM4.47 juta.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN