Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 21/11/2009
Kuari runtuh: Seorang dikhuatiri tertimbus, tiga selamat

Kuari runtuh: Seorang dikhuatiri tertimbus, tiga selamat


Keadaan di Bukit kuari yang runtuh di Jalan Teluk Muroh-Teluk Batik, Lumut, Perak, semalam.


LUMUT 20 Nov. - Seorang pekerja sebuah kuari warga Bangladesh dikhuatiri mati tertimbus manakala tiga lagi rakannya nyaris maut dalam kejadian runtuhan bukit di Jalan Teluk Muroh-Teluk Batik dekat sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika dua pekerja kuari itu sedang membaiki sebuah mesin, manakala dua pekerja lagi sedang bekerja di kawasan bukit.

Salah seorang yang terselamat, M. Mahendran, 39, berkata, kejadian berlaku begitu pantas tanpa sebarang petanda apabila bukit batu bercampur tanah merah itu runtuh.

Menurutnya, semasa dia dan mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu sibuk membaiki sebuah mesin di situ, beberapa ketul batu kecil jatuh di atas topi keselamatan yang dipakainya.

"Selepas memeriksa topi itu, saya dapati bunyi itu datang daripada batu-batu kecil dari arah puncak bukit.

"Saya terus melarikan diri dan meninggalkan mesin yang sedang diperbaiki sambil menjerit kepada rakan-rakan lain supaya menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Mahendran berkata, sejurus selepas itu, kawasan berkenaan ditimbus ketulan batu serta tanah merah yang runtuh dari puncak bukit itu.

"Selepas berjaya menyelamatkan diri, saya dapati seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di tempat kejadian gagal dikesan. Mungkin dia terperangkap dalam runtuhan berkenaan," katanya.

Runtuhan dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah akibat hujan yang melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, sehingga pukul 5.30 petang ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pihak polis sedang menyiasat kejadian berkenaan dan mengesan sama ada terdapat pekerja yang tertimbus dalam kejadian itu seperti yang didakwa rakan mangsa.

"Kita masih belum dapat menemui sebarang petunjuk untuk membuktikan ada mangsa yang terperangkap. Kita juga tidak ada butir-butir peribadi mangsa yang dikatakan tertimbus itu.

"Bagaimanapun, usaha sedang giat dijalankan di tempat kejadian untuk mencari mangsa," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN