|
KOTA KINABALU 20 Nov. - Sabah sedia menerima penambahan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui persempadanan semula pada 2013.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, keputusan tersebut bergantung kepada kajian dan keperluan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
''Kita sedia kaji sama ada perlu ditambah kerusi DUN, tetapi mengikut keperluan dan kriteria tertentu. Di Sabah walaupun satu-satu kawasan itu besar tetapi jumlah pengundinya kecil.
''Satu kawasan DUN yang baru biasanya tidak akan diwujudkan kalau pengundinya kurang daripada 10,000 orang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Sabah di sini hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mengulas kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik bahawa proses persempadanan semula akan bermula termasuk di Sabah.
Setakat ini terdapat 60 kerusi DUN di Sabah iaitu yang kedua terbanyak selepas Sarawak iaitu 62 kerusi.
Beliau yang juga Pengerusi Badan perhubungan UMNO negeri berkata, Sabah memang mempunyai kawasan yang luas tetapi jumlah penduduk biasanya tidak mengikut keluasannya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua kepimpinan UMNO Sabah supaya berusaha menambah bilangan ahli parti yang kini berjumlah kira-kira 421,000 orang di seluruh negeri.
"UMNO Sabah tidak meletakkan berapa sasaran ahli baru tetapi kita sudah arahkan cawangan dan bahagian berbuat demikian agar mereka mampu menjadi pengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.
Buat masa ini katanya, keahlian UMNO yang paling ramai di Sabah ialah di Silam iaitu 37,000 orang, Semporna (30,000 orang) dan Libaran (23,000 orang).
Mengenai mesyuarat tersebut, beliau berkata, UMNO Sabah sedang mengaktifkan biro politik, keahlian, penerangan, pengurusan, pendidikan dan lain-lain.
Tambahnya, usaha tersebut adalah untuk memperkemaskan parti sekali gus menarik ahli-ahli baru.
habis.
IKLAN@UTUSAN
|