|
ALOR SETAR 19 Nov. - Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bukan sahaja bersuara malah malah lantang mengkritik kerajaan negeri setiap kali Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bersidang.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, perkara dibangkitkan meliputi kepincangan dalam kerajaan negeri seperti isu sampah, bekalan air, zakat, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan sebagainya.
Beliau berkata, kelantangan wakil rakyat BN yang majoritinya daripada UMNO termasuk pada sidang Dewan ketika ini yang dijangka berakhir Ahad ini.
"Contohnya dalam sidang terbaru, 10 wakil rakyat kita telah membangkitkan pelbagai isu, itu belum lagi yang bakal bangun untuk meminta penjelasan daripada kerajaan negeri pada sidang yang akan bersambung Ahad ini.
"Siapa kata kita tidak bersuara," kata beliau yang mewakili kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas luahan tidak puas hati seorang pengadu dikenali Tan Melaka dalam Forum Utusan Malaysia hari ini yang mempersoalkan mengapa perasaan tidak senang rakyat terhadap kerajaan negeri tidak disuarakan oleh wakil-wakil rakyat BN dalam DUN Kedah atau menerusi akhbar.
Nawawi turut mempersoalkan apakah yang menjadi ukuran penulis berkenaan bagi merujuk bahawa wakil-wakil rakyat BN membisu dalam sidang DUN Kedah.
"Saya tidak faham, jika tidak keluar dalam akhbar atau televisyen mengenai suara-suara kami wakil rakyat BN, apakah itu dikira kami tidak bersuara?
"Setiap bahan atau berita yang disiarkan sama ada dalam akhbar atau media elektronik adalah di luar kawalan wakil-wakil rakyat BN, ia terpulang kepada syarikat akhbar terbabit sama ada mahu disiarkan atau sebaliknya," tambah beliau.
Beliau berkata, sepanjang sidang berkenaan berlangsung, wakil-wakil rakyat BN telah membangkitkan sekurang-kurangnya 16 isu berkaitan masalah rakyat kepada kerajaan negeri.
"Ini termasuk daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang bercakap selama 45 minit tentang pelbagai isu dibangkitkan," kata beliau.
Beliau berkata, kesemua wakil rakyat BN akan terus bersuara pada sidang Dewan akan datang dalam memperjuangkan isu rakyat.
"Begitu juga dengan aktiviti di luar dewan, kami juga mempunyai banyak program untuk rakyat dan sentiasa turun membantu mereka," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|