|
PUTRAJAYA 19 Nov. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sedia bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kemelut dalaman MCA.
Bagaimanapun, tegas beliau mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA kedua perlu diteruskan 28 November ini jika pucuk pimpinan parti enggan memberi laluan kepada pemilihan semula ahli jawatankuasa pusat (CC).
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat masalah parti komponen dan saya sedia berjumpa beliau. Saya akan jelaskan kepentingan EGM, iaitu memberi kuasa kepada perwakilan mengadakan pemilihan semula parti," katanya selepas mempengerusikan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan di sini, hari ini.
Kemelut MCA bertambah kusut apabila Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam melucutkan keanggotaan Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Majlis Presiden MCA.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan berjumpa dengan semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA untuk mencari jalan penyelesaian. Tiong Lai berkata, kenyataan Perdana Menteri itu tidak boleh disalah tafsir sebagai campur tangan ke atas MCA.
IKLAN@UTUSAN
|