Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 20/11/2009
Ka Siong lega PM sedia jumpa pemimpin MCA

Ka Siong lega PM sedia jumpa pemimpin MCA

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong melahirkan rasa leganya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin MCA bagi menyelesaikan krisis parti berkenaan.

Beliau yang sedih dan kesal dengan pelucutan keanggotaannya dalam Lembaga Presiden parti tersebut berkata, langkah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memperlihatkan diri beliau sebagai pemimpin yang prihatin dalam segala hal.

Katanya, perhatian dan pemerhatian yang diberikan oleh Najib sebelum ini terhadap krisis kepimpinan MCA memang amat dihargai.

''Apabila saya dengar berita Perdana Menteri memandang serius perkara ini, saya dan warga MCA yang lain rasa lega. Kita sama-samalah lihat dan tunggu apa yang akan dilakukan oleh beliau bagi mencari satu kaedah menyelesaikan perkara ini.

''Saya yakin, pertemuannya dengan pemimpin tertentu MCA itu adalah untuk kebaikan BN dan menyelamatkan MCA, justeru saya ucapkan terima kasih kepada beliau," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Najib hari ini memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin MCA yang bertelagah bagi membolehkan satu jalan penyelesaian dicapai dalam usaha memulihkan krisis yang dialami parti itu.

Pertemuan itu dijangka diadakan sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini berikutan Perdana Menteri melihat krisis MCA kini menjadi lebih serius apabila terdapat di kalangan pemimpinnya yang bertindak seolah-olah tidak menghormati pelan perpaduan yang dicapai sebelum ini.

Semalam, Ka Siong dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun termasuk tujuh lagi anggota lain dilucutkan keanggotaan daripada Lembaga Presiden berikutan Presiden Parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mendapati resolusi yang dicadangkan oleh kumpulan 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) untuk mengadakan EGM tidak bertepatan dengan perlembagaan. Ka Siong menambah, pihaknya melihat keprihatinan Perdana Menteri itu membuktikan 'penyingkiran' anggota Majlis Presiden bercanggah dengan Pelan Asal Perpaduan (GUP) yang diuar-uarkan sebelum ini.

Ka Siong berkata, beliau tidak melihat UMNO ingin masuk campur sebaliknya sudah tiba masa untuk Pengerusi BN itu memanggil semua pihak terbabit untuk membincangkan perkara tersebut.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN