|
KUALA LUMPUR 19 Nov. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang melucutkan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presidennya semalam berkata, Pelan Perpaduan Menyeluruh (GUP) perlu dilaksanakan segera.
Katanya, beliau memerlukan pasukan yang menyokong 100 peratus usaha menyatupadukan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau menegaskan, parti itu tidak boleh lagi mempunyai pemimpin yang menentang usaha tersebut terutama mereka yang cuba menganggu pelan yang telah direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Untuk mencapai matlamat itu, saya telah merombak beberapa jawatan dalam parti dan memasukkan pemimpin yang mempunyai kebolehan, pengalaman dan matlamat yang betul dalam melaksanakan GUP yang menerima sokongan dua per tiga ahli Jawatankuasa Pusat (CC)," katanya.
Beliau berkata demikian di dalam blognya, www.ongteekeat.net bagi mengulas keputusan mesyuarat CC semalam yang menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua parti itu yang dirancang diadakan oleh 'kumpulan 16' pada 28 November ini.
Pada mesyuarat yang diadakan semalam itu, Tee Keat turut mengumumkan pelucutan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presiden MCA yang kesemuanya terlibat dalam merancang mengadakan EGM kedua itu.
Antara yang terlibat dilucutkan jawatan tersebut ialah Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanitanya, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Tee Keat berkata, dalam keadaan sekarang, amat penting kepada pemimpin parti mengetepikan semua perbezaan pendapat demi perpaduan parti.
"Parti juga tidak boleh lagi membuang masa dalam mendapatkan kembali sokongan rakyat bagi kita berhadapan dengan pilihan raya umum nanti," jelasnya.
Katanya, atas dasar itu beliau memutuskan untuk terus bekerjasama dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek walaupun wujud perbezaan pendapat dan pertikaian sebelum ini.
Menurutnya, di bawah Artikel 47 Perlembagaan parti menyatakan Majlis Presiden MCA adalah badan pentadbir yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan keputusan yang dibuat oleh CC.
Katanya, pelaksanaan GUP adalah contoh kepada apa yang telah digariskan di dalam perlembagaan itu.
"GUP telah dipersetujui dengan cara yang amat demokratik melalui mesyuarat CC yang diadakan semalam dan kini tiba masa bagi Majlis Presiden melaksanakan apa yang telah dipersetujui CC itu," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|