Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 20/11/2009
Krisis MCA: Najib campur tangan

Krisis MCA: Najib campur tangan

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap krisis dalaman MCA semakin serius sehingga memerlukan campur tangan beliau bagi menyelesaikan pertelingkahan di kalangan pemimpin parti itu.

Sehubungan itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perjumpaan secara berasingan dengan setiap pemimpin utama MCA sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua parti itu yang dirancang pada 28 November ini.

"Saya melihat bahawa krisis MCA ini memang menjadi lebih serius dan lebih buruk lagi. Saya akan cari dan luangkan masa untuk berbincang dengan mereka, kemungkinan secara berasingan dan lihat jika kita dapat mencari titik persamaan dan kita akan mulakan dari situ," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung dan Persidangan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Ke-14 di sini hari ini.

Najib mengulas mengenai krisis dalaman MCA yang semakin parah apabila mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu semalam memutuskan menolak EGM kedua yang dirancang oleh kumpulan yang menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Susulan keputusan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat turut mengumumkan pelucutan keanggotaan sembilan ahli Majlis Presiden MCA yang terlibat merancang EGM berkenaan termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Menurut Najib, krisis itu menjadi semakin buruk apabila terdapat kalangan pemimpin MCA yang melakukan tindakan tidak mencerminkan hasrat yang dinyatakan mereka sebelum ini iaitu bagi mewujudkan satu formula perpaduan.

"Sebenarnya kalau kita nak cari satu formula perpaduan, maka tindakan kita juga mesti mencerminkan hasrat tersebut. Nampaknya setakat ini, apa yang dilakukan oleh MCA tidak memberi keyakinan lagi kepada mereka yang di luar parti ini termasuk rakan-rakan dalam komponen BN," katanya.

Tambah Perdana Menteri, banyak pihak yang merasa kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam MCA sekarang.

"Kegagalan kepimpinan MCA untuk mencapai penyelesaian setakat ini boleh menyebabkan parti ini tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum-kaum lain pada keseluruhannya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menegaskan, krisis MCA sekarang boleh memberi kesan kepada BN terutama dalam usaha gabungan itu memulihkan imejnya di mata rakyat.

"Ya, ini akan menjejaskan usaha kita untuk memulihkan kedudukan BN di mata rakyat. Rakyat kini melihat UMNO sebagai sangat stabil dan telah melalui proses pembaharuan serta memaparkan imej baru kepada rakyat.

"Kita berharap parti-parti lain akan dapat bersama-sama kita dalam mencerminkan hasrat untuk memaparkan imej baru bagi BN," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN