Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 20/11/2009
Pegawai miliki PhD sarjana dalam ATM digembleng

Pegawai miliki PhD sarjana dalam ATM digembleng

ALOR GAJAH 19 Nov. - Kepakaran yang dimiliki pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah sarjana dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan akan digembleng menerusi Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia yang ditubuhkan baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini terdapat 29 pemegang PhD dalam ATM manakala 3,800 pegawai dan anggota memiliki ijazah sarjana dalam pasukan itu dan kementerian.

Menurutnya, mereka akan ditempatkan di institut itu bagi menjalankan penyelidikan mengikut bidang masing-masing selaras penubuhannya sebagai pusat penyelidikan pertahanan dan keselamatan.

''Kita akan menggunakan tenaga dan fikiran mereka dan kumpulkan segala pengalaman serta hasil penyelidikan yang sudah mereka hasilkan bagi tujuan pertahanan dan keselamatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nadwah Ilmiah Pegawai Kanan Tentera dan Awam serta Agensi Beruniform di sini malam tadi.

Program anjuran Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) itu disertai 31 peserta terdiri daripada agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Seminar tiga hari itu bertemakan 'Modal Insan Cemerlang Organisasi Gemilang' dengan matlamat memberi nilai tambah kepada pengetahuan dari segi kerohanian dalam pengurusan organisasi.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Zahid, kementerian turut berhasrat memperluaskan peranan institut terbabit sebagai pusat penyelidikan serantau dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Pada permulaannya, ujar beliau, institut tersebut akan menerbitkan jurnal dan majalah pertahanan dan keselamatan yang diusahakan kakitangan ATM yang memiliki PhD berkaitan.

''Kita mahu jurnal yang dihasilkan nanti digunakan oleh kementerian pertahanan dan angkatan tentera di negara lain.

''Ia sebahagian usaha kementerian dalam memberi sumbangan kepada bidang penyelidikan dalam pertahanan dan keselamatan,'' katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan menganjurkan seminar antarabangsa mengenai pertahanan dan keselamatan pada 16 September setiap tahun sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia dan Hari Malaysia.

Katanya, pihaknya akan menjemput tetamu dan tokoh antarabangsa dalam bidang pertahanan serta menyediakan kertas kerja bagi membincangkan sumbangan tokoh terlibat.

''Kita juga akan memanggil pegawai kanan angkatan tentera sedia ada, veteran pemimpin tertinggi ATM untuk berbincang pada seminar tersebut nanti,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN